AGENDA

Angka maut nahas pesawat Air India meningkat 265 orang

13 Jun 2025, 9:30 AM
Angka maut nahas pesawat Air India meningkat 265 orang

ISTANBUL, 13 JUN: Sekurang-kurangnya 265 orang terbunuh manakala hanya seorang penumpang terselamat apabila sebuah pesawat Air India yang dalam penerbangan ke London terhempas sejurus selepas berlepas dari Ahmedabad, India pada Khamis.

Menurut Press Trust of India yang memetik pihak polis, sejumlah 265 mayat ditemukan selepas pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang membawa 230 penumpang dan 12 kru itu terhempas di sebuah asrama kolej perubatan, lapor Anadolu Ajansi.

Daripada jumlah itu, Air India mengesahkan 241 mangsa yang maut berada dalam pesawat penerbangan AI171, manakala selebihnya dipercayai terdiri daripada pelajar dan penduduk setempat di kawasan kejadian.

Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, selepas meninjau lokasi kejadian berkata haba yang teramat panas akibat kebakaran di tempat nahas “langsung tidak memberi peluang” untuk menyelamatkan penumpang.

Katanya, angka korban hanya akan dimuktamadkan selepas keputusan ujian DNA diperoleh bagi mengenal pasti semua mangsa.

Satu-satunya mangsa yang terselamat dikenal pasti sebagai Viswashkumar Ramesh, warganegara Britain berketurunan India yang kini dirawat di hospital.

“Air India merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

"Fokus utama kami kini adalah untuk memenuhi keperluan semua yang terjejas, termasuk ahli keluarga dan orang tersayang mereka,” menurut kenyataan syarikat penerbangan itu.

Antara mangsa yang terkorban ialah bekas Ketua Menteri Gujarat, Vijay Rupani.

Presiden India, Droupadi Murmu menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Rupani dan menyifatkan tragedi itu sebagai “amat menyayat hati.”

Perdana Menteri Narendra Modi pula menyifatkan nahas itu sebagai peristiwa “yang amat memilukan dan sukar diungkap dengan kata-kata,” yang “mengejutkan dan menyedihkan kita semua.”

Syarikat induk Air India, Tata mengumumkan bantuan sebanyak 10 juta rupee (US$116,863) kepada keluarga mangsa terkorban, membiayai sepenuhnya rawatan mangsa yang cedera serta membantu kerja pembaikan asrama yang rosak.

Menteri Penerbangan Awam India, Kinjarapu Ram Mohan Naidu berkata siasatan rasmi telah dimulakan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan Boeing, Kelly Ortberg, menyatakan kesediaan pihaknya untuk membantu siasatan.

Penerbangan malang itu membawa 169 penumpang warga India, 53 warga Britain, tujuh dari Portugal, seorang dari Kanada, serta dua juruterbang dan 10 anak kapal.

-- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619