AGENDA

Dua 'Datuk' ditahan terlibat kes tawar pakej haji percuma

5 Jun 2025, 3:47 PM
Dua 'Datuk' ditahan terlibat kes tawar pakej haji percuma

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Dua individu dipercayai bergelar “Datuk” ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan tawaran pakej ibadah haji secara percuma oleh sebuah syarikat.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata lelaki dan wanita berusia 36 dan 39 tahun itu ditahan pada Selasa dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman mereka tamat semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kegiatan penipuan itu dikesan selepas pasukan petugas “Op Haji Terkandas” mendapati sekumpulan jemaah di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) sedang menunggu seorang individu bergelar “Datuk” itu, Isnin lepas.

Muhammed Hasbullah berkata individu berkenaan dikatakan akan menyerahkan visa yang membolehkan mereka berlepas ke Tanah Suci, namun visa yang dijanjikan tidak diperoleh.

“Susulan itu, seorang daripada mangsa membuat laporan polis mendakwa dia dan isteri telah menyerahkan pasport antarabangsa kepada dua individu yang menawarkan pakej haji secara percuma.

“Mangsa dijanjikan penerbangan ke Makkah pada 1 Jun 2025, namun setakat 3 Jun, tiada sebarang pengesahan penerbangan diterima daripada pihak syarikat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penipuan itu dilakukan dengan mendakwa pakej haji percuma itu dikendalikan sebuah agensi pelancongan yang berdaftar sebagai pengelola jemaah haji (PJH) bagi tahun ini.

“Setakat ini tujuh laporan polis diterima berkaitan penipuan tawaran haji oleh syarikat terbabit, namun tiada kerugian kewangan dilaporkan berikutan pakej haji itu ditawarkan secara percuma,” katanya.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619