AGENDA

Harimau Malaya tekad atasi Vietnam, tamat kemarau lebih 10 tahun

2 Jun 2025, 6:55 PM
Harimau Malaya tekad atasi Vietnam, tamat kemarau lebih 10 tahun

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski mengakui Harimau Malaya bakal berdepan cabaran getir dalam usaha menamatkan kemarau kemenangan lebih sedekad ke atas Vietnam pada aksi Kumpulan F bagi Kelayakan Piala Asia 2027, pada 10 Jun ini.

Jurulatih kelahiran Australia itu berkata beliau menghormati Vietnam, tetapi bertekad untuk mencipta sejarah bersama Malaysia.

“Malaysia gagal menewaskan Vietnam sejak lebih 10 tahun lepas. Itu lebih daripada satu dekad dan ini adalah masa terbaik untuk kami mencipta sejarah.

“Saya sangat menghormati Vietnam. Saya tidak fokus kepada seorang pemain sahaja, saya fokus kepada sebuah pasukan. Kami tidak sabar menantikan cabaran pada 10 Jun nanti,” kata jurulatih berusia 46 tahun itu kepada pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan, yang turut dihadiri media Vietnam di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau turut memuji keupayaan skuad bimbingan jurulatih Korea Selatan Kim Sang Sik itu sebagai sebuah pasukan yang kuat dan berkualiti, selain memaklumkan beliau telah meneliti keseluruhan pasukan itu.

“Saya telah menonton kesemua pemain mereka. Mereka pasukan yang sangat bagus dan kuat. Saya menghormati Vietnam, kerana mereka adalah pasukan bola sepak yang berkualiti,” katanya.

Vietnam dan Malaysia kini berkongsi kedudukan teratas kumpulan dengan tiga mata selepas masing-masing memenangi perlawanan pembukaan.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menewaskan skuad Golden Star Warriors itu adalah pada tahun 2014, sebelum mengalami tujuh kekalahan dan satu seri sepanjang lapan pertemuan terakhir dalam semua kejohanan.

Pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, Vietnam melakar kemenangan 3-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022, yang kini dikenali sebagai Kejohanan ASEAN.

Skuad kendalian Cklamovski dijadualkan menentang pasukan ranking ke-72 dunia Cape Verde, dalam aksi persahabatan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam esok, selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Khamis lepas.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619