AGENDA

Rindu Faisal Halim sarung jersi Harimau Malaya terubat

26 Mac 2025, 1:15 AM
Rindu Faisal Halim sarung jersi Harimau Malaya terubat

ISKANDAR PUTERI, 26 MAC: Pemain sayap kebangsaan Mohamad Faisal Abdul Halim mengakui rindunya terubat selepas membantu Malaysia menewaskan Nepal 2-0 pada perlawanan pertama Kumpulan F kempen kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim di sini, semalam.

Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim berkata walaupun berpeluang kembali beraksi, beliau masih perlu bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan dan mencapai tahap terbaiknya.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), jurulatih Peter (Peter Cklamovski), TMJ yang memberi peluang dan semangat kepada saya setahun tak bersama pasukan kebangsaan.

“Ini buat kali pertama saya menyarung jersi pasukan kebangsaan kembali, rindu itu.. amat-amat rindu sebenarnya, dan pada malam ini (semalam) walaupun dapat peluang bermain saya rasa banyak lagi saya perlu perbaiki untuk masa depan dan perlawanan berikutnya,” katanya ketika ditemui selepas aksi menentang Nepal.

Pada aksi semalam, Faisal membuat penampilan pertamanya dengan jersi Harimau Malaya sejak insiden serangan asid pada Mei tahun lepas, apabila dimasukkan ketika perlawanan berbaki kurang 20 minit.

Pada 5 Mei tahun lepas Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, sekali gus mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian badannya dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

Sementara itu pemenang Gol Terbaik Piala Asia 2023 yang mesra disapa Mickey itu mengakui berasa janggal ketika dimasukkan sebagai pemain gantian.

“Perasaan sebelum masuk memang agak lain, tak seperti sebelum ini sebagai pemain tetap, sekarang ini saya kena banyak bekerja keras untuk mencari rentak dan persembahan terbaik. Buat masa sekarang saya dah buktikan Mickey boleh beraksi dan perlukan masa lagi untuk jadi terbaik,” katanya.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619