AGENDA

Bukit Aman: Sidang Kemuncak Asean ke-46 berjalan lancar tanpa insiden

28 Mei 2025, 1:20 PM
Bukit Aman: Sidang Kemuncak Asean ke-46 berjalan lancar tanpa insiden

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Sidang Kemuncak Asean ke-46 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 22 Mei hingga semalam di ibu negara berjalan lancar tanpa sebarang insiden keselamatan.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman DCP M V Sri Kumar berkata kelancaran kawalan keselamatan terhadap semua ketua negara, delegasi dan para petugas berjaya dicapai hasil kerjasama semua pihak terutama Kementerian Luar Negeri dan agensi berkaitan.

“Pergerakan keluar masuk ketua-ketua negara dan delegasi ke lokasi persidangan berjalan seperti dirancang. Kawalan keselamatan terhadap semua pihak sepanjang berlangsungnya sidang kemuncak juga adalah baik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau memaklumkan penutupan jalan secara berperingkat di sekitar hotel penginapan delegasi dan lokasi persidangan berjalan lancar serta mendapat kerjasama baik orang ramai.

Media sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menugaskan hampir 6,200 pegawai dan anggota sepanjang tempoh sidang kemuncak berlangsung bagi kawalan keselamatan.

Penutupan jalan secara berperingkat telah dilaksanakan membabitkan enam lebuh raya dan 25 jalan utama sekitar Lembah Klang bermula 23 Mei lepas.

Sidang Kemuncak Asean ke-46 diadakan di bawah Kepengerusian Asean Malaysia 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kelestarian”.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619