AGENDA

PM: Malaysia, Singapura sepakat perkasa kerjasama pelaburan dan perdagangan

26 Mei 2025, 9:56 AM
PM: Malaysia, Singapura sepakat perkasa kerjasama pelaburan dan perdagangan

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Malaysia dan Singapura sepakat untuk terus memperkasakan kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan dengan memberi tumpuan kepada projek utama melibatkan kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dicapai pada pertemuan beliau dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong di luar Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

“Saya dan Perdana Menteri Lawrence menyatakan komitmen untuk terus memperkasakan kerjasama pelaburan dan perdagangan selain memberi fokus kepada projek utama seperti JS-SEZ (Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura) dan RTS Link,” katanya dalam kenyataan di sini.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.

Menurut Anwar, beliau dan Wong turut bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi digital, tenaga mampan dan Grid Tenaga Asean.

“Malaysia dan Singapura juga sepakat untuk menyelesaikan isu dua hala secara konstruktif demi kebaikan bersama serta hubungan jangka panjang yang harmoni,” kata beliau.

Wong tiba semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-46 dan sidang kemuncak berkaitan di KLCC.

Sidang Kemuncak Asean ke-46 berlangsung di ibu negara pada 26 dan 27 Mei, berserta dengan Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak Asean-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya.

Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, edisi tahun ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi Asean, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619