AGENDA

Nahas FRU: Seorang lagi dibenar keluar hospital, tujuh masih dirawat

15 Mei 2025, 10:33 AM
Nahas FRU: Seorang lagi dibenar keluar hospital, tujuh masih dirawat

IPOH, 15 MEI: Seorang lagi anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan di Teluk Intan pada Selasa lepas, dibenarkan keluar dari hospital semalam, menjadikan tujuh masih menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, dibenarkan keluar dari Hospital Teluk Intan (HTI) pada 9.30 malam, dan telah dibawa pulang ke rumahnya di Arau, Perlis.

“Keadaan mangsa tidak boleh duduk dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak telah menguruskan perkhidmatan ambulans swasta Medifa Care Ambulans Hilir Perak untuk membawa mangsa pulang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam Bakri memaklumkan tujuh anggota terlibat dirawat di HTI dengan tiga daripadanya kritikal dan tidak sedarkan diri di unit rawatan rapi (ICU) manakala seorang lagi yang kritikal menerima rawatan di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Dalam kejadian 8.50 pagi Selasa lepas, sembilan anggota maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak pasukan dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam di sini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619