AGENDA

Wanita maut digilis lori tangki selepas tercampak dari kereta

4 Mei 2025, 9:24 AM
Wanita maut digilis lori tangki selepas tercampak dari kereta

SEREMBAN, 4 MEI: Seorang wanita maut digilis lori tangki minyak selepas tercampak keluar dari kereta dinaiki ketika melalui selekoh di Kilometer 26 Jalan Lukut-Sepang, Port Dickson di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata dalam kejadian kira-kira 8.20 pagi itu, mangsa yang berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pintu belakang sebelah kanan jenis Perodua Myvi yang dinaiki wanita itu terbuka secara tiba-tiba sewaktu melalui selekoh menyebabkan dia tercampak ke jalan bertentangan sebelum dilanggar lori tangki minyak jenis Volvo dari arah berlawanan.

“Suami wanita yang juga pemandu berusia 34 tahun dan bayi mereka, lima bulan yang berada di tempat duduk hadapan menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak serta pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semakan mendapati kedua-dua kenderaan mempunyai cukai jalan dan insurans yang masih aktif serta saringan urin terhadap pemandu kereta adalah negatif manakala rakaman papan pemuka lori terbabit telah diperoleh.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan ketika ini tiada unsur jenayah dikesan.

Maslan menasihatkan orang ramai untuk memastikan pintu kenderaan sentiasa dikunci terutama apabila membawa penumpang bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619