AGENDA

Masters Orleans: Zii Jia tewas, Arif-Roy King mara separuh akhir

8 Mac 2025, 12:18 AM
Masters Orleans: Zii Jia tewas, Arif-Roy King mara separuh akhir

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Hasrat pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia untuk melangkah lebih jauh di Masters Orleans, Perancis tidak kesampaian selepas tewas kepada pemain bukan pilihan dari Ireland, Nhat Nguyen pada peringkat suku akhir awal pagi tadi waktu Malaysia.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Palais des Sports, Nguyen hanya memerlukan 39 minit untuk mencatat kemenangan 23-21, 21-7 ke atas Zii Jia, yang turun sebagai pilihan utama kejohanan.

Kemenangan itu membolehkan Nguyen memecahkan rekod tanpa kemenangan dalam tiga pertemuan terdahulu dengan Zii Jia. Pemain Ireland itu kini bakal berdepan wakil tuan rumah, Alex Lanier, di separuh akhir hari ini.

Sebagai rekod, ini merupakan kejohanan pertama yang disertai Zii Jia musim ini selepas pulih daripada kecederaan buku lali yang dialami ketika Jelajah Dunia BWF, Disember lepas.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King meneruskan kemaraan selepas menundukkan pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Poh Hsuan, 21-19, 21-18.

Mereka kini bersedia menghadapi cabaran getir menentang pilihan utama kejohanan, Liang Wei Keng-Wang Chang, buat kali pertama di separuh akhir.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619