AGENDA

Dividen KWSP dijangka lebih baik bagi 2024 susulan prestasi memberangsangkan

23 Feb 2025, 3:42 AM
Dividen KWSP dijangka lebih baik bagi 2024 susulan prestasi memberangsangkan

PUTRAJAYA, 23 FEB: Prestasi memberangsangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada suku ketiga tahun lepas dijangka memberi pulangan yang baik dari segi dividen kepada pencarumnya.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata berdasarkan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga 2024, pencarum boleh mengharapkan berita gembira berkaitan agihan dividen yang lebih baik bagi tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya.

“Kalau kita tengok prestasinya sehingga suku ketiga tahun lepas, ia (prestasi) menggalakkan. Sehingga suku ketiga, ia (KWSP) dah dapat RM57.5 bilion (pendapatan pelaburan). Lebih baik daripada tahun sebelumnya.

“Oleh itu, insya-Allah prestasi berterusan pada suku keempat dan dividen akan memberangsangkan. Namun, saya tak boleh komen apa dividennya. Itu tunggulah. Boleh kata lebih baik. Insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Larian Asean: Trek Kewangan @MOF anjuran Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.

KWSP mengisytiharkan dividen lebih tinggi pada 2023 iaitu 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional berbanding 5.35 peratus pada 2022 dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion.

Bagi Simpanan Shariah, 5.40 peratus direkodkan berbanding 4.75 peratus pada 2022 dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion.

KWSP dijangka mengumumkan kadar dividen 2024 pada awal Mac ini.

Terdahulu, beberapa pakar ekonomi dan akademik menjangkakan dividen KWSP bagi tahun 2024 melebihi enam peratus.

Sementara itu, lebih 3,700 peserta menyertai Larian Asean: Trek Kewangan @MOF, yang diadakan bersempena dengan Kepengerusian Asean Malaysia 2025 melibatkan penyertaan daripada kalangan warga MOF dan orang awam.

Pada program itu, Amir Hamzah bersama pengurusan tertinggi MOF berjaya menamatkan larian bagi kategori tiga kilometer.

Amir Hamzah berkata penganjuran acara larian itu bertujuan memberi pendedahan kepada warga MOF dan orang awam mengenai Asean dari aspek penubuhan, peranan dan kepentingan pertubuhan ASEAN kepada Malaysia dan negara anggotanya.

Selain itu, katanya pendedahan turut melibatkan aktiviti yang telah dan akan dijalankan sepanjang tahun ini terutamanya oleh MOF sempena Kepengerusian Asean Malaysia melalui Trek Kewangan.

“Penganjuran larian ini juga dapat menyokong amalan hidup sihat terutamanya dalam kalangan warga kerja MOF. Ini amat bertepatan dengan nilai Madani Kesejahteraan yang turut memberi penekanan kepada keseimbangan dalam kehidupan,” katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619