NASIONAL

Pahlawan dakwa pegawai kanan ATM terima rasuah PRU14

28 Mei 2018, 4:32 AM
Pahlawan dakwa pegawai kanan ATM terima rasuah PRU14

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 26 MEI: Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tujuh pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipercayai menerima rasuah sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Presiden Pahlawan, Asri Buang berkata, pegawai-pegawai tersebut juga dipercayai menyalahguna kuasa dengan membuat paksaan undian bagi tujuan kemenangan Barisan Nasional (BN).

"Pihak kami sudah mengumpul beberapa bukti untuk diserahkan kepada SPRM hari ini termasuk jumlah wang rasuah diterima serta senarai penyalahgunaan aset kerajaan sepanjang PRU14 dan juga PRU13.

"Buat masa ini kami tidak boleh mendedahkan lagi jumlah wang berkenaan kerana ia masih di peringkat awal laporan, namun apa yang boleh Pahlawan maklumkan ialah bukti Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) menjadikan bangunan mereka sebagai kem untuk BN ternyata adalah kesalahan paling ketara pada PRU14," katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung Pahlawan, Husnal Az Hari Sanusi berkata, Pahlawan juga percaya terdapat pegawai kanan ATM yang memberi tekanan kepada anggota tentera untuk memilih hanya satu parti ketika membuat undian awal.

Katanya, ia jelas dilihat melalui keputusan undi awal yang memihak kemenangan kepada BN pada mulanya.

"Namun apabila undi rakyat dikira, kesemua calon BN kalah teruk, jadi kita menggesa supaya SPRM siasat segera kes ini kerana kami tidak mahu kepincangan berlaku di kalangan pegawai atasan ATM.

"Pahlawan melihat trend menekan anggota bawahan memilih parti tertentu bermula sejak PRU13, berbanding tahun 90an perkara sebegini tidak berlaku, sepatutnya anggota tentera mahupun penjawat awam berhak memilih parti yang mereka suka bukannya dipaksa," katanya.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619