AGENDA

1,400 pesara tentera disasar sertai program Veteran Desa Madani tahun ini

7 Jul 2024, 12:30 PM
1,400 pesara tentera disasar sertai program Veteran Desa Madani tahun ini

MACHANG, 7 JULAI: Kementerian Pertahanan menyasarkan 1,400 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai Program Veteran Desa Madani (VDM) seluruh negara tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pelaksanaan VDM bertujuan membantu golongan B40 dalam kalangan veteran asnaf ATM yang memerlukan bantuan dari aspek kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan dan pemerkasaan.

Beliau berkata program itu juga sebagai platform kerjasama antara kementerian terbabit dan kerajaan negeri dalam usaha menyampaikan bantuan kebajikan kepada veteran terpilih.

"Sebagai permulaan, kita akan adakan tujuh siri program (VDM) di seluruh negara tahun ini melibatkan 200 veteran ATM setiap siri dan kita sasarkan 1,400 veteran ATM akan menerima manfaat.

"Kita akan lihat maklum balas dari semasa ke semasa mengenai program ini dan akan tambah baik kerana program VDM melibatkan veteran ATM yang berada di luar bandar untuk membantu meringankan beban mereka dan keluarga," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menziarahi rumah veteran ATM Hassan Ahmad, 63, di Kampung Chekok, Temangan, di sini hari ini.

Adly berkata selain menyampaikan bantuan seperti barangan keperluan kepada veteran ATM, program VDM juga berperanan sebagai platform untuk mengenal pasti serta memudah cara proses permohonan sumbangan yang diperlukan berdasarkan skim kebajikan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM serta fasiliti keusahawanan yang berkaitan.

"Kerajaan komited meningkatkan peruntukan JHEV ATM daripada RM118 juta kepada RM224 juta pada tahun ini untuk memberi manfaat yang lebih luas kepada veteran ATM.

"Pada tahun ini, kerajaan turut meningkatkan peruntukan bayaran sara hidup sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM54 juta kepada RM174 juta dan seramai 29,247 veteran ATM telah menerima faedah ini setakat 31 Mei lepas," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619