AGENDA

Lapan individu disiasat muat naik kandungan persenda institusi diraja

15 Feb 2025, 7:09 AM
Lapan individu disiasat muat naik kandungan persenda institusi diraja

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan lapan individu disyaki memuat naik kandungan bersifat palsu dan jelik yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kandungan berkenaan disifatkan boleh membangkitkan kebencian dan persendaan terhadap institusi diraja khususnya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Menurut MCMC, siasatan dijalankan susulan laporan diterima dan pasukan penyiasat telah melakukan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Operasi pemeriksaan dilakukan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis dan Pahang. Lapan unit telefon pintar dan lapan unit kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan.

“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes,” menurut kenyataan itu.

MCMC turut mengingatkan orang ramai untuk mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa memuat naik sebarang kandungan di media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan berunsur palsu serta kebencian, yang bertentangan dengan nilai dan norma budaya masyarakat majmuk di Malaysia.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619