AGENDA

TNB jamin tiada kenaikan tarif elektrik, lindungi pengguna domestik

27 Dis 2024, 9:10 AM
TNB jamin tiada kenaikan tarif elektrik, lindungi pengguna domestik

KUALA LUMPUR, 27 DIS:Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini memberi jaminan tidak akan menaikkan tarif elektrik kepada 85 peratus pengguna domestik, kata Ketua Pegawai Kewangan syarikat utiliti negara itu, Datuk Nazmi Othman.

Beliau berkata keputusan ini sejajar dengan apa yang telah diputuskan kerajaan pada 20 Dis lepas, untuk mengekalkan tarif elektrik bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2025.

“Dalam tempoh itu, pengguna domestik tidak akan terjejas kerana sebarang kenaikan harga atau impak akan ditampung kerajaan menerusi kaedah yang akan ditentukan antaranya termasuklah melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media mengenai pelaksanaan Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum, Bangsar. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST) Datuk Abdul Razib Dawood.

Nazmi menjelaskan sebelum tempoh itu berakhir, kerajaan akan melakukan penilaian dan kajian semula struktur tarif elektrik, dengan mengambil kira harga arang batu, gas dan bahan api semasa sebelum sebarang keputusan lanjut diumumkan.

“Keputusan seterusnya dijangka diumum sebelum Julai, kerana kerajaan akan memantau situasi termasuk harga pasaran semasa arang batu, gas dan bahan api pada tarikh paling hampir dengan berakhirnya jadual tarif elektrik semasa iaitu 30 Jun 2025,” katanya.

Pada 20 Dis lepas, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataannya memaklumkan kerajaan pada 13 Dis memutuskan tiada kenaikan tarif elektrik selaras dengan komitmen untuk menjamin kesejahteraan rakyat dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi menerusi pelaksanaan subsidi secara bersasar.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif elektrik yang boleh membebankan rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kenaikan kadar tarif elektrik tidak seharusnya diletakkan kepada rakyat terbanyak, sebaliknya kepada golongan maha kaya atau industri yang mencatatkan keuntungan luar biasa.

Perdana Menteri yang berada di Langkawi memberitahu media, beliau telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air supaya meminta TNB memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Nazmi yakin sebarang keputusan yang diumumkan kerajaan kelak akan mengutamakan dan menjamin kesejahteraan rakyat terutamanya melindungi pengguna domestik.

Beliau berkata setakat ini TNB merekodkan sejumlah sembilan juta pemilik akaun pengguna domestik, dan sejuta pengguna sektor komersial.

Semalam TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan cadangan jadual tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah RP4, yang ia sarankan supaya dilaksanakan mulai 1 Julai depan.

Di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWj.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619