AGENDA

Isu kadar tol, tarif elektrik baharu antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

29 Jul 2025, 12:23 AM
Isu kadar tol, tarif elektrik baharu antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 29 JUL: Implikasi kepada pengguna lebuh raya sekiranya kerajaan tidak menangguhkan kenaikan kadar tol pada tahun ini seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lepas, antara isu yang menjadi tumpuan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu dibangkitkan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sejurus sidang Dewan Rakyat bermula pada 10 pagi.

Pada sesi sama, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) bertanyakan Menteri Komunikasi mengenai prosedur siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap aduan berkait kenyataan di media sosial.

Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) pula meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan matlamat jadual tarif elektrik baharu dalam mencapai agenda peralihan tenaga dan kemampanan jangka panjang negara serta penjelasan dakwaan tarif baharu itu membebankan rakyat.

Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) bertanyakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengenai status semasa program Wakaf Air yang dilancarkan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Beliau juga ingin tahu sama ada kementerian bercadang untuk memasukkan program berkenaan secara rasmi ke dalam Pelan Induk Sumber Air Negara atau Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Turut menjadi perhatian, isu kebajikan golongan warga emas yang dibangkitkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung langkah dan usaha memperkenalkan undang-undang yang lebih menyeluruh bagi melindungi warga emas daripada pengabaian dan penderaan dalam kalangan ahli keluarga.

Usai sesi berkenaan, mesyuarat Dewan Rakyat dijadual diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang untuk bacaan kali kedua antaranya Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025, RUU Perikanan (Pindaan) 2025 dan RUU Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2025.

Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi persidangan Dewan Rakyat berlangsung 24 hari hingga 28 Ogos ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619