AGENDA

Malaysia kutuk tindakan Israel ceroboh Syria, bina penempatan haram

17 Dis 2024, 12:00 PM
Malaysia kutuk tindakan Israel ceroboh Syria, bina penempatan haram

PUTRAJAYA, 17 DIS: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keputusan rejim Zionis Israel untuk memperluas penempatan haram di Bukit Golan yang diduduki, yang secara terang-terangan melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Syria.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa serangan udara Israel yang menyasarkan pelbagai lokasi di wilayah Syria bertentangan dengan prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa.

"Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa agar menunaikan tanggungjawab undang-undang dan moral mereka dengan memastikan Israel segera menghentikan semua serangan haram dan bertanggungjawab atas pendudukan haram di tanah Syria, selaras dengan Resolusi 497 (1981) Majlis Keselamatan PBB.

"Malaysia menuntut Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB berkaitan, termasuk Resolusi 79/83 yang diterima pakai pada 3 Disember 2024," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar Negeri yang juga dikenali sebagai Wisma Putra turut mengesahkan sokongan Malaysia terhadap kedaulatan, kemerdekaan dan keutuhan wilayah Syria.

Menurut kementerian itu, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi mencapai keamanan, keselamatan dan kestabilan yang berkekalan di Syria dan rantau Asia Barat yang lebih luas.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619