AGENDA

Hentakan objek tumpul punca kematian wanita ditemukan dalam peti sejuk

21 Nov 2024, 8:46 AM
Hentakan objek tumpul punca kematian wanita ditemukan dalam peti sejuk

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Laporan awal bedah siasat mayat wanita yang ditemukan dalam peti sejuk beku di sebuah rumah di Taman OUG di sini, mendapati mangsa meninggal dunia kerana kecederaan pada dada akibat objek tumpul.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata mayat wanita itu juga telah diserahkan kepada suaminya di Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata laporan penuh bedah siasat yang boleh membantu menjelaskan garis masa waktu mangsa meninggal dunia dan diletakkan di peti sejuk beku masih belum diperoleh.

“Setakat ini sembilan rakaman percakapan telah dibuat bagi membantu melengkapkan siasatan. Kita tunggu laporan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata reman suspek yang juga anak lelaki mangsa disambung tujuh hari hingga 26 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek keluar dari PPUM 6.15 petang semalam dan kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields,” katanya.

Suspek berusia 53 tahun itu ditahan 12 November lalu susulan penemuan mayat wanita pada 8.45 pagi dan direman bermula 13 November lepas.

Rusdi sebelum ini dilaporkan berkata suspek yang dirawat di PPUM selepas ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan polis masih menunggu laporan kesihatan daripada pihak hospital serta laporan bedah siasat mayat mangsa.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619