AGENDA

38 individu ditahan dalam serbuan di 10 pusat hiburan

4 Mei 2025, 9:00 AM
38 individu ditahan dalam serbuan di 10 pusat hiburan

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Seramai 38 individu berusia 22 hingga 48 tahun ditahan dalam Op Mega Noda yang dijalankan polis di 10 premis hiburan tanpa lesen di sekitar ibu negara semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata mereka yang ditahan dalam operasi bermula 12 tengah malam itu terdiri daripada tujuh warga tempatan manakala bakinya warga Bangladesh, Uganda, Vietnam, Kemboja, Indonesia, Kenya dan India.

“Siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan membabitkan penjaga kaunter, pekerja warga asing, pelayan khidmat pelanggan (GRO) dan pelacur serta hasil operasi turut merampas peralatan pusat hiburan, kamera litar tertutup (CCTV) dan wang tunai RM2,892," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain tiada lesen hiburan sah, pemeriksaan mendapati kesemua premis terbabit tidak memiliki lesen minuman keras dan menggajikan pekerja warga asing tanpa permit kerja sah.

Difahamkan, polis turut mengesan kegiatan pelacuran di premis di Jalan Changkat dan Jalan Nagasari di sini membabitkan warga Uganda, Kemboja dan Kenya dengan bayaran RM180 hingga RM200 menerusi operasi terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 372B dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619