SELANGOR

Akta urus sisa pepejal masih dibincang, pastikan kepentingan negeri terjaga

18 Nov 2024, 10:22 AM
Akta urus sisa pepejal masih dibincang, pastikan kepentingan negeri terjaga

SHAH ALAM, 18 NOV: Kerajaan Negeri dijangka memuktamadkan ratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) menjelang awal tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika ini perbincangan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih berjalan bagi memastikan kepentingan Selangor terjaga.

“Sebahagiannya masih dalam perbincangan, tetapi yang penting adalah menjaga keutamaan Kerajaan Negeri. Kalau ia boleh dipelihara, ia akan jauh lebih baik untuk kedua-dua pihak.

“Bukan sekadar meletakkan atau melepaskan tanggungjawab kepada kerajaan persekutuan tetapi isunya adalah sejauh mana kita dapat beri perkhidmatan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau melancarkan Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2024 di bangunan pentadbiran negeri di sini, hari ini. Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar.

Amirudin menambah, pelaksanaan Akta 672 dijangka mengurangkan beban Kerajaan Negeri khususnya berkaitan harga tarif kutipan sisa pepejal.

Sebagai contoh, katanya, KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) terpaksa menampung subsidi bagi kutipan sampah bagi setiap satu tan sehingga menjejaskan kitaran kewangan syarikat.

“Kos bagi satu tan kutipan sisa pepejal adalah RM14 hingga RM16 tetapi kita masih sekitar RM7. Jadi, kekurangan itu ditampung operasinya oleh KDEBWM melalui subsidi.

“Akhirnya KDEB hadapi kitaran kewangan yang agak ketat dan mengganggu bagi urusan pelaburan membeli barangan keperluan seperti trak dan sebagainya,” katanya.

Menurut Amirudin, pelaksanaan Akta 672 adalah baik namun ia perlu diselaras bersama semua pihak supaya lebih teratur dan pengurusan sisa menjadi lebih mampan dan lestari.

“Ini juga melibatkan semua pihak berkuasa tempatan dan mereka sudah ada eksosistem sendiri. Kita mahu gabungkan sistem itu agar kita dapat transisi lebih baik,” katanya.

Mei lalu, Kerajaan Negeri bersetuju menerima pakai Akta 672 sekali gus menjadikan Selangor negeri kelapan selepas Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619