AGENDA

Deepavali: Hari untuk perkukuh perpaduan kaum

30 Okt 2024, 1:00 PM
Deepavali: Hari untuk perkukuh perpaduan kaum

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Sambutan perayaan Deepavali yang akan diraikan esok perlu menjadi hari untuk mempererat dan memperkukuh lagi perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini, demikian mesej yang disampaikan beberapa Menteri Kabinet bersempena dengan pesta cahaya itu.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata Deepavali bukan sahaja dirayakan oleh penganut Hindu, tetapi ia juga merupakan satu kesempatan untuk semua rakyat berbilang kaum dan agama untuk bersama-sama meraikan kepelbagaian budaya yang dimiliki.

“Dalam konteks negara kita, yang kaya dengan warisan dan tradisi berbeza, adalah penting bagi kita untuk menghormati dan menghargai setiap perayaan yang disambut oleh semua lapisan masyarakat.

“Dalam semangat Deepavali, kita harus memperkukuh ikatan silaturahim antara satu sama lain, tidak mengira agama, bangsa, atau budaya. Inilah masanya kita merayakan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara kita dan mengeratkan perpaduan yang telah lama terjalin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sebagai pewaris negara, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk terus mengekalkan perpaduan yang dinikmati hari ini.

“Dengan memupuk semangat inklusif dan hormat-menghormati, kita perlu memastikan asas perpaduan Malaysia tetap kukuh, supaya kemajuan dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

“Semoga Deepavali tahun ini mengingatkan kita semua untuk memperkukuh perpaduan, memperdalam rasa hormat antara satu sama lain, dan memperbaharu tekad kita untuk membawa negara ke arah yang lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali menerusi hantaran di Facebook, mahu pesta cahaya diraikan dengan menghayati semangat perpaduan, keharmonian dan kepelbagaian budaya yang menjadikan Malaysia benar-benar unik.

Turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali ialah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang menasihati semua supaya berhati-hati di jalan raya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619