AGENDA

Zii Jia singkir Popov dalam misi pertahan gelaran juara Terbuka Artik di Finland

9 Okt 2024, 8:45 AM
Zii Jia singkir Popov dalam misi pertahan gelaran juara Terbuka Artik di Finland

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia memulakan kempen mempertahankan gelaran juara Terbuka Artik dengan menyingkirkan pemain Perancis Christo Popov 21-15, 21-11 di Energia Areena, Vantaa, Finland hari ini.

Pemain nombor empat dunia itu mengambil masa 43 minit untuk menewaskan Popov pada pusingan pertama kejohanan Jelajah Dunia Super 500 berkenaan.

Pada pusingan kedua, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis itu akan berdepan pemain Jepun Yushi Tanaka yang menewaskan Lei Lan Xi dari China 21-17, 27-29, 21-16.

Zii Jia, 26, memenangi gelaran itu pada Oktober tahun lepas setelah menewaskan rakan senegara Ng Tze Yong pada final, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan selama 17 bulan dalam Jelajah Dunia.

Sejak memenangi gangsa Sukan Olimpik, Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama dalam dua kejohanan Jelajah Dunia berturut-turut iaitu Terbuka Jepun dan Terbuka China.

Bagaimanapun, seorang lagi wakil perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao tersingkir awal selepas tewas 19-21, 9-21 kepada pemain Hong Kong Lee Cheuk Yiu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619