AGENDA

Pesara guru maut ditikam anak lelaki OKU mental

5 Okt 2024, 3:27 PM
Pesara guru maut ditikam anak lelaki OKU mental

KUALA PILAH, 5 OKT: Seorang pesara guru maut akibat ditikam anak lelakinya di rumahnya di Kampung Senaling, Kuala Pilah di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Gani berkata pihaknya menerima laporan pada 4.40 petang daripada orang awam menyatakan seorang lelaki berusia 65 tahun meninggal dunia akibat ditikam dengan senjata tajam di dalam sebuah rumah.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati warga emas berkenaan sebelum itu cuba memujuk anak lelakinya yang dipercayai mengalami halusinasi, namun secara tiba-tiba suspek bertindak agresif dan menikam mangsa.

"Semasa kejadian, isteri mangsa turut berada di dalam rumah terbabit. Suspek yang berusia 32 tahun merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya mental.

"Hasil pemeriksaan pada badan mangsa menemukan satu kesan tikaman di bahagian belakang badan dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata selepas menikam mangsa, suspek telah melarikan diri dengan memandu sebuah kereta namun kemudian ditemukan terbaring dengan mulut berbuih di tepi jalan Pekan Senaling.

Beliau berkata hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati suspek telah meninggal dunia dipercayai akibat minum bahan peluntur.

“Senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini telah berjaya ditemui di tempat kejadian," katanya.

Mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk bedah siasat manakala kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619