AGENDA

Lubnan hadapi serangan udara besar-besaran Israel, tumpu lokasi Hizbullah

28 Sep 2024, 2:20 PM
Lubnan hadapi serangan udara besar-besaran Israel, tumpu lokasi Hizbullah

BEIRUT, 28 SEPT: Pesawat perang Israel melancarkan siri serangan udara ke atas lokasi Hizbullah serta bandar-bandar dan perkampungan di selatan dan timur Lubnan pada awal pagi Sabtu, kata sumber tentera negara ini.

Sumber yang enggan dikenali itu memberitahu Xinhua bahawa pesawat perang Israel melancarkan lebih daripada 100 serangan udara di selatan Lubnan dan kira-kira 50 serangan di bandar-bandar dan perkampungan di timur Lubnan.

Mereka berkata serangan berkenaan menyasarkan lokasi Hizbullah dan pinggir puluhan bandar, selain kawasan terbuka, lembah dan hutan.

"Kebanyakan serangan di selatan Lubnan menyasarkan bandar-bandar dan kampung-kampung yang mengelilingi Bandar Tyre dan Nabatieh, kawasan tinggi di Wilayah Jezzine, Iqlim al-Tuffah, dan kampung-kampung sempadan yang meluas dari kampung di tenggara Kafr Kila hingga ke pinggir Naqoura di barat," kata sumber tentera Lubnan itu.

Serangan berkenaan turut menyasarkan empat pusat pertahanan awam, mencederakan lima orang yang kemudiannya dipindahkan ke sebuah hospital di Bandar Nabatieh, manakala di timur Lubnan, serangan mengenai Bandar Baalbek dan kampung-kampung sekitarnya, menurut sumber itu.

Konfrontasi antara Hizbullah dan Israel semakin memuncak kebelakangan ini selepas Israel mengumumkan perluasan serangannya terhadap Hamas ke Lubnan.

Sementara itu, Hizbullah mengumumkan permulaan fasa baru dalam perjuangannya untuk menyokong Gaza.

- BERNAMA-XINHUA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619