AGENDA

Demam denggi menurun kepada 1,765 kes minggu lalu, empat kematian direkodkan

8 Sep 2024, 4:08 AM
Demam denggi menurun kepada 1,765 kes minggu lalu, empat kematian direkodkan

PUTRAJAYA, 8 SEPT: Jumlah kes demam denggi dilaporkan menurun kepada 1,765 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 35 iaitu bagi tempoh 25 hingga 31 Ogos berbanding 1,980 kes pada minggu sebelumnya dengan empat kematian dilaporkan akibat komplikasi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME 35 berjumlah 96,572 kes berbanding 80,201 kes bagi tempoh sama 2023.

"Terdapat 88 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 57 kematian bagi tempoh sama pada 2023," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bilangan lokaliti 'hotspot' yang dilaporkan pada ME 35 sebanyak 64 lokaliti berbanding 85 pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata daripada 64 lokaliti yang dilaporkan, 45 di Selangor, tujuh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga masing-masing di Negeri Sembilan, Kelantan dan Perak manakala satu lokaliti masing-masing di Kedah, Sabah dan Sarawak.

Dr Muhammad Radzi berkata bagi survelan chikungunya, terdapat dua kes direkodkan pada ME 35 dan tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada minggu itu.

Jumlah kumulatif kes Chikungunya sehingga kini ialah 70 kes.

Bagi survelan zika, Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 1,834 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan Zika dan keputusannya negatif.

Beliau berkata risiko penyebaran demam denggi akan meningkat terutama semasa cuti sekolah dan cuti umum disebabkan pergerakan orang ramai.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan mengingatkan masyarakat termasuk pihak sekolah dan kontraktor agar sentiasa memastikan tiada bekas yang boleh menakung air di persekitaran premis yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes sebelum cuti penggal kedua persekolahan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619