AGENDA

Kempen vaksin polio Gaza diterus meski berdepan serangan maut Israel

2 Sep 2024, 1:05 PM
Kempen vaksin polio Gaza diterus meski berdepan serangan maut Israel

GAZA CITY, 2 SEPT: Kempen vaksinasi polio untuk kanak-kanak di bawah umur 10 tahun diteruskan untuk hari kedua di tengah Semenanjung Gaza pada Isnin, meskipun berdepan serangan maut Israel, lapor Agensi Anadolu (AA).

Pada hari pertama kempen, pasukan daripada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat dan rakan kongsi mereka berjaya memberi vaksin kepada kira-kira 87,000 kanak-kanak, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Usaha sedang dijalankan untuk memberikan vaksin penting ini kepada kanak-kanak," kata UNRWA dalam satu kenyataan, menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

Kempen itu memberi tumpuan di kawasan tengah Gaza dari 1 hingga 4 Sept, diikuti di Khan Younis dari 5 hingga 9 Sept dan berakhir di Gaza City dan wilayah utara dari 9 hingga 12 Sept, menurut sumber rasmi.

Pada 16 Ogos, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa gencatan senjata kemanusiaan selama tujuh hari untuk membolehkan kempen vaksinasi polio yang menyasarkan 640,000 kanak-kanak dijalankan. Gesaan itu disokong oleh UNRWA.

Permintaan itu susulan pengumuman Kementerian Kesihatan Palestin mengenai kes polio pertama yang disahkan di Gaza, yang menjejaskan seorang kanak-kanak berusia 10 bulan.

Israel terus melancarkan serangan kejam di Semenanjung Gaza walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menggesa gencatan senjata segera.

Serangan itu mengakibatkan lebih 40,700 kematian rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 94,100 mengalami kecederaan, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Sekatan berterusan di Gaza menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk selain menyaksikan sebahagian besar wilayah itu musnah.

-BERNAMA-ANADOLU

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619