AGENDA

SPRM tahan lima individu, sita 1.6 juta liter diesel, wang tunai RM3.7 juta

25 Ogos 2024, 3:20 PM
SPRM tahan lima individu, sita 1.6 juta liter diesel, wang tunai RM3.7 juta

KUALA LUMPUR 25 OGOS: Lima individu ditahan kerana disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi milik persatuan nelayan serta membayar rasuah kepada penguat kuasa di Sibu, Sarawak sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan hari ini berkata tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sibu ketika hadir memberikan keterangan pada jam 4 petang tadi.

Katanya, menerusi siasatan dan risikan SPRM, sindiket yang dipercayai sudah beroperasi sejak 2012 itu telah mengaut keuntungan sehingga RM400 juta dengan menjual minyak diesel bersubsidi untuk kegunaan nelayan kepada pihak luar pada kadar harga tertentu.

Katanya serbuan di sebuah depoh penyimpanan minyak yang terletak di Sungai Bidut turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan turut menyita dua tongkang, serta 30 tangki minyak membabitkan 1.6 juta liter diesel serta wang tunai RM3.7 juta.

"Mereka yang ditahan ini adalah empat pengusaha stesen minyak yang dipercayai menjadi dalang kegiatan penyeludupan minyak diesel itu serta seorang orang tengah yang dipercayai terbabit urusan jual beli dengan pembeli luar.

"Kesemua sitaan minyak diesel terbabit diserahkan kepada KPDN bagi tujuan penjualan semula kepada pelesen yang sah," katanya.

Beliau berkata sindiket ini dipercayai telah memindahkan minyak diesel berkenaan daripada tangki-tangki yang dikhaskan untuk nelayan ke dalam tongkang yang berlabuh di depoh berkenaan.

"Kemudian, minyak daripada tongkang berkenaan dipercayai dipindahkan ke kapal-kapal milik pembeli dari negara luar pada waktu malam bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa," katanya.

Menurut Azam kesemua suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Sibu bagi proses permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619