AGENDA

SPRM perlu terap aspek cegah, kuat kuasa banteras rasuah

1 Okt 2022, 12:09 AM
SPRM perlu terap aspek cegah, kuat kuasa banteras rasuah

PUTRAJAYA, 1 OKT: Pencegahan, penguatkuasaan dan pendidikan adalah antara fokus berimpak tinggi yang perlu ditekankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya sentiasa proaktif bagi membanteras rasuah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata sesiapa yang menerajui SPRM selepas ini haruslah melihat kepada perkara-perkara yang melibatkan kemudaratan kepada masyarakat yang mampu memberi impak daripada pelbagai aspek seperti ekonomi dan sosiobudaya.

“SPRM harus memainkan peranan dalam pencegahan, penguatkuasaan dan pendidikan agar tindakannya lebih efektif. Kalau dalam penguatkuasaan, teknik sedia ada ini perlu ditambah baik atau perlu diubah.

“Skala dan pengetahuan pegawai perlu dipertingkatkan. Kita tidak boleh ketinggalan dałam teknologi, pembangunan atau modus operandi yang dibuat penjenayah,” katanya kepada pemberita dalam temu bual sempena Hari Ulang Tahun SPRM ke-55.

Beliau berkata banyak perkara yang perlu dilihat bagi menjadikan SPRM terus digeruni dan menjadi badan pencegah rasuah yang disegani di mata dunia seiring zaman agar tidak dilabel sebagai lapuk atau dimamah usia.

Azam berkata dalam tempoh lima tahun akan datang akan berlaku perubahan dari segi teknologi yang juga bakal menyaksikan kes-kes rasuah semakin canggih.

“Malah sekarang ini pun pembayaran rasuah juga berlaku dalam bentuk mata wang kripto. Sukar dikesan...saya akui, SPRM dan Bank Negara masih mencari jalan penyelesaian cara nak kesan pembayaran wang dalam bentuk alam maya ini.

“Selaras dengan perubahan itu, aktiviti pencegahan pun tidak boleh ditakuk lama. Kita perlu lihat kepada bagaimana sistem tadbir urus yang ada sekarang agar releven dengan perubahan masa dan teknologi,” katanya.

Mengulas mengenai silibus antirasuah dalam pendidikan, Azam berkata silibus berkenaan dalam buku teks mungkin tidak sesuai dalam tempoh lima tahun akan datang dan perlu dikemas kini dalam membentuk sahsiah masyarakat yang menolak dan bencikan rasuah.

“Sekarang mungkin ia relevan. Akan datang, dengan perubahan minda rakyat, teknologi dan sebagainya, kita semua pun akan berfikiran lain, generasi Y berfikiran lain. Maka kita perlu bersatu bersama mereka.

“Sebab itu ada satu ayat yang saya selalu kata, kita kena selalu muda, ikut zaman. Saya mungkin 59 (tahun) tapi saya harus muda dengan ikut orang muda. Apa orang muda fikir, saya juga kena fikirlah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan agar Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu mempunyai kuasa untuk melakukan pendakwaan, Azam berkata peranan itu tidak perlu dan bidang kuasa sedia ada sudah memadai.

“Baru-baru ini keluar satu artikel mengatakan KP SPRM perlu mempunyai kuasa untuk mendakwa. Pendapat peribadi saya kekal (kuasa sedia ada) dan tidak sepatutnya mempunyai kuasa itu (mendakwa).

“Tugas kami adalah untuk menyiasat dan membawa kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara. Mereka akan membuat keputusan. Mereka akan mendakwa di mahkamah dan biarkan hakim yang membuat keputusan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619