AGENDA

PM ucap takziah kepada keluarga Hail Amir

6 Mei 2024, 11:55 AM
PM ucap takziah kepada keluarga Hail Amir

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penyanyi dan pelakon veteran Datuk Hail Amir yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar turut mendoakan supaya keluarga Allahyarham tabah menghadapi dugaan itu.

“Mendoakan roh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan diberi tempat istimewa di sisi Yang Maha Esa, insya-Allah. Karya anak seni Pulau Pinang ini pastinya akan terus dikenang buat selamanya,” kata beliau.

Terdahulu, berita pemergian Hail, 76, atau nama sebenarnya Abdul Hail Amir pada 3.43 petang disahkan oleh Presiden Persatuan Seniman Malaysia Rozaidi Abdul Jamil, yang lebih dikenali sebagai Zed Zaidi.

Allahyarham terkenal dengan lagu Seloka Hari Raya, Menunggu Nasi Minyak dan Antara Matamu dan Mataku, yang dinyanyikan secara duet bersama Uji Rashid.

Bakat Hail dalam bidang seni suara dikesan oleh komposer terkenal Ahmad Nawab sehingga lahirnya lagu popular Wajah Kesayangan Hamba manakala antara filem lakonan beliau ialah Menanti Hari Esok, Ribut Barat dan Anita Dunia Ajaib.

Bapa kepada empat cahaya mata itu menerima darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk pada 2022 daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619