AGENDA

Michelle Yeoh terima Pingat Kebebasan Presiden daripada Joe Biden

4 Mei 2024, 9:09 AM
Michelle Yeoh terima Pingat Kebebasan Presiden daripada Joe Biden

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Bintang Hollywood dan pelakon terkenal Malaysia Tan Sri Michelle Yeoh menerima Pingat Kebebasan Presiden daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden semalam.

Majlis yang diadakan di Rumah Putih pada Jumaat malam waktu tempatan atau pada pagi hari ini di Malaysia, menandakan satu detik bersejarah apabila Yeoh menjadi pelakon Asia pertama yang menerima penghormatan tertinggi negara berkenaan.

Rumah Putih dalam pengenalannya menyifatkan Yeoh sebagai seorang daripada pelakon paling terkenal pada masa ini dan telah memecahkan stigma dan stereotaip untuk membina kerjaya yang cemerlang sebagai salah seorang penghibur paling serba boleh di dunia.

“Menjadi warga Asia pertama memenangi Anugerah Akademi (Oscar) sebagai Pelakon Wanita Terbaik, usahanya untuk memajukan kesaksamaan jantina, isu pemuliharaan dan kesihatan global telah dirasai di seluruh dunia.

"Sama ada sebagai penghibur atau perintis, Michelle Yeoh terus memperkaya budaya Amerika dan memberi inspirasi kepada kami untuk mempercayai kemungkinan dalam filem dan seterusnya," katanya semasa Biden menganugerahkan beliau dengan Pingat Kebebasan Presiden.

Kemenangan bersejarah Yeoh di Oscar pada 2023 untuk peranannya dalam filem "Everything Everywhere All At Once" mengukuhkan statusnya sebagai pelopor dalam industri hiburan.

Beliau merupakan seorang penyokong vokal untuk pemuliharaan alam sekitar dan tujuan kemanusiaan, menggunakan platformnya untuk meningkatkan kesedaran dan mendorong perubahan positif pada skala global.

Selain pencapaian sinematiknya, usaha kebajikan Yeoh juga mendapat pujian meluas.

Yeoh sebagai duta pertukaran budaya dan persefahaman, menunjukkan nilai keterangkuman, empati dan daya tahan yang mentakrifkan semangat Pingat Kebebasan Presiden.

Selain Yeoh, 18 individu lain turut dianugerahkan penghormatan berprestij itu.

Mereka termasuk Ellen Ochoa, wanita Hispanik pertama di angkasa dan Jim Thorpe, atlet legenda juga Orang Asli Amerika pertama memenangi pingat emas Olimpik pada 1912.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619