AGENDA

Program Jualan Rahmah Aidilfitri di lebih 300 lokasi hingga 9 April

5 Apr 2024, 1:57 AM
Program Jualan Rahmah Aidilfitri di lebih 300 lokasi hingga 9 April

PUTRAJAYA, 5 APRIL: Program Jualan RAHMAH (PJR) Aidilfitri diadakan di 302 lokasi berjadual di seluruh negara bermula semalam hingga 9 April ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata PJR Aildilfitri akan melibatkan jualan produk barangan keperluan asas pada kadar potongan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga jualan asal.

Selain penjualan barang-barang keperluan kering, PJR Aidilfitri akan melibatkan penawaran jualan barangan keperluan harian lain khusus bagi persiapan menyambut Aildilfitri seperti ayam, daging lembu, beras, rempah-ratus dan sebagainya.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas Agenda Payung RAHMAH MADANI melalui pelaksanaan PJR Aidilfitri bersempena dengan sambutan lebaran kali ini,” katanya.

Lokasi pelaksanaan PJR Aidilfitri adalah di Johor sebanyak 18 lokasi, Kedah (21), Kelantan (14), Kuala Lumpur (4), Melaka (13), Pahang (15) dan Perak (25).

Ia turut dilaksana di Perlis (3), Pulau Pinang (42), Sabah (29), Sarawak (45), Selangor (36), Terengganu (22), Negeri Sembilan (13) serta Putrajaya dan Labuan masing-masing dengan satu lokasi.

Beliau berkata maklumat lanjut pelaksanaan PJR Aidilfitri boleh diakses melalui portal KPDN di pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.

Sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini, Armizan berkata KPDN juga telah melaksanakan PJR Ramadan di 452 lokasi di seluruh negara bermula 12 Mac hingga 3 April lepas melepasi sasaran awal sebanyak 450 siri yang disasarkan.

“Inisiatif yang dicaknakan oleh KPDN ini merupakan satu daripada inisiatif di bawah Kerajaan MADANI dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

“(Khususnya) bagi membeli keperluan asas pada harga yang lebih murah terutamanya dalam membuat persiapan berbuka puasa pada bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619