AGENDA

Malaysia kutuk serangan udara Israel di Gaza, tujuh pekerja bantuan maut

3 Apr 2024, 2:31 PM
Malaysia kutuk serangan udara Israel di Gaza, tujuh pekerja bantuan maut

PUTRAJAYA, 3 APRIL: Malaysia mengutuk serangan udara oleh Israel yang menyebabkan kematian tujuh pekerja bantuan dari badan amal World Central Kitchen (WCK) di Gaza.

“Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, serta pemimpin kerajaan negara yang berduka atas kehilangan warganegaranya dalam serangan tidak berperikemanusiaan ini,” kata Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia mengambil maklum dan turut berdukacita apabila WCK menangguhkan operasinya disebabkan insiden tragis itu.

"Penangguhan operasi WCK akan menghalang usaha bantuan segera, menambahkan lagi kesengsaraan rakyat Palestin yang sedang bergelut dengan kebuluran dan penyebaran penyakit," menurut Wisma Putra.

Mangsa yang terkorban termasuk tiga warga Britain, seorang warga Poland, seorang warga Australia, seorang Palestin dan seorang yang memegang dwi-kewarganegaraan Amerika Syarikat-Kanada.

Wisma Putra berkata ia juga amat bimbang dengan serangan yang disengajakan ke atas bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini, serta serangan ke atas WCK.

Menurut Wisma Putra, rejim Israel harus mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2728 untuk memastikan perlindungan dan bantuan sampai kepada rakyat Palestin, dan konflik di Gaza mesti berakhir.

Tambahnya, rakyat Palestin berhak mendapat sokongan teguh dan bantuan dari komuniti antarabangsa, dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk berusaha secara kolektif mencari penyelesaian yang damai dan mampan terhadap krisis berterusan di Gaza.

"Malaysia kekal dengan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dalam mendapatkan kembali hak-hak mereka untuk berdiri sendiri.

“Malaysia berpegang teguh kepada penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan diterima sebagai ahli anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata Wisma Putra.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619