AGENDA

Akikah bertukar tragedi, bayi dua bulan maut dalam kemalangan

28 Feb 2024, 12:15 AM
Akikah bertukar tragedi, bayi dua bulan maut dalam kemalangan

SHAH ALAM, 28 FEB: Seorang bayi berusia dua bulan terbunuh dalam nahas enam kenderaan di Kilometer 184 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, dekat sini, pagi semalam.

Kejadian menyayat hati itu berlaku ketika mangsa Mohamad Sufyan Mohamad Shahizwan dalam perjalanan bersama ibu bapanya dari Putrajaya ke Kluang untuk mengadakan majlis akikah.

Menurut laporan Berita Harian, bayi terbabit yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia sekitar jam 2.55 petang ketika dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Jasin berkata kemalangan membabitkan sebuah treler membawa kereta, lori, tiga kereta dan sebuah pacuan empat roda yang sedang dalam perjalanan dari arah utara ke selatan.

Menurut Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, treler itu dikatakan hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum merempuh Perodua Ativa dipandu bapa mangsa.

"Pelanggaran menyebabkan bayi yang duduk di kerusi kanak-kanak bahagian belakang parah di kepala dan badan, manakala ibu bapanya dan seorang lagi anak lelaki berusia tiga tahun tidak cedera.

"Treler itu turut merempuh empat lagi kenderaan iaitu sebuah lori, Ford Ranger, Perodua Myvi dan Mercedes Benz, namun semua empat pemandu dan tiga penumpangnya selamat," katanya.

Jelasnya, sampel darah pemandu treler diambil untuk analisis kimia, namun, ujian air kencing belum dibuat berikutan dia terpaksa ditahan di hospital akibat tekanan darah rendah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619