AGENDA

Keracunan makanan, Zii Jia tarik diri pada suku akhir Masters Indonesia

26 Jan 2024, 3:30 PM
Keracunan makanan, Zii Jia tarik diri pada suku akhir Masters Indonesia

JAKARTA, 26 JAN: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia terpaksa menarik diri pada pertengahan perlawanan suku akhir Masters Indonesia 2024 di Istora Senayan, Jakarta, hari ini akibat keracunan makanan.

Pemain nombor 10 dunia itu membuat keputusan untuk tidak meneruskan permainan di set kedua bertemu wakil Kanada Brian Yang selepas tewas di set pertama 21-14 dalam tempoh 19 minit permainan.

Bekas juara All England itu bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya media mengenai punca beliau tidak meneruskan permainan.

Pihak pengurusan Zii Jia menerusi laman X menyatakan: “Lee Zii Jia terpaksa menarik diri pada pertengahan perlawanan kerana keadaan badannya semakin merosot akibat mengalami keracunan makanan sejak beberapa hari lepas.

“Zii Jia cuba menampilkan prestasi terbaiknya tetapi tidak dapat menyempurnakan perlawanan menentang Brian Yang,” menurut Team LZJ.

Sementara itu, beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan China Liu Sheng Shu-Tan Ning selepas tewas 16-21, 9-21.

Nasib sama turut dialami beregu campuran dan pemenang pingat emas Terbuka Korea 2022, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabila tewas kepada wakil China Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 18-21, 21-18, 21-13.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619