AGENDA

Nadma: Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 674 orang petang ini

7 Jan 2024, 10:34 AM
Nadma: Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 674 orang petang ini

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Sebanyak 674 mangsa banjir di Johor berlindung di 16 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 4 petang ini, meningkat sedikit berbanding 338 mangsa daripada 92 keluarga pagi tadi.

Menurut laporan terkini yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), ia melibatkan daerah Kluang yang menempatkan 103 mangsa, Kota Tinggi (513 mangsa), Kulai (38 mangsa) dan Segamat (20 mangsa).

Keadaan di Pahang turut menunjukkan peningkatan dengan 315 mangsa daripada 75 keluarga berlindung di lapan PPS di Rompin dan Pekan.

Berdasarkan tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, sungai di enam kawasan di Johor didapati berada pada paras bahaya dengan trend meningkat iaitu Kampung Laut di Sungai Skudai yang mencatatkan 3.89 meter (m), Dagang (Sungai Johor - 4.61m), Sri Jaya (Sungai Johor - 8.76m), Kampung Murni Jaya (Sungai Johor - 18.15m), Kampung Sungai Siam (Sungai Johor - 21.02m), Kampung Contoh (Sungai Endau - 14.79m).

Selain itu, Sungai Kelantan dan Sungai Terengganu turut menunjukkan trend peningkatan dengan bacaan masing-masing 77.51m dan 19.9m, manakala dua sungai pada paras bahaya yang menunjukkan trend menurun ialah Sungai Arau, di Perlis (23.86m) dan Sungai Batang Sadong di Serian, Sarawak (9.52 m).

Laporan itu turut menyatakan setakat hari ini 49 jalan ditutup akibat bencana dan kerosakan antaranya Jalan Kota Tinggi - Kluang, Jalan Mersing - Endau (Mersing) di Johor; Jalan Bukit Besi - Dungun di Terengganu dan jalan dari Simpang Tiga Sungai Pahi ke Simpang Tiga Kampung Peria di Kelantan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin timuran dijangka berlaku di Pahang, Johor dan timur Sabah hingga 9 Jan, manakala di Sarawak hingga 11 Jan.

Menurut kenyataan itu keadaan tersebut boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan terbabit.

“MetMalaysia telah mengemas kini amaran hujan berterusan yang melibatkan timur Pahang dan Johor berkuat kuasa hingga 8 Jan ini.

“Amaran angin kencang dan laut bergelora turut dikeluarkan yang berkuat kuasa hingga 8 Jan,” menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619