PBT

MBSA sambut baik penubuhan suruhanjaya, perkukuh peranan PBT

19 Nov 2023, 12:30 PM
MBSA sambut baik penubuhan suruhanjaya, perkukuh peranan PBT

SHAH ALAM, 19 NOV : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyambut baik langkah negeri menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada tahun depan.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman berkata pembentukan suruhanjaya memberi peluang kepada kakitangan berkongsi pengalaman sekali gus mewujudkan perkhidmatan PBT yang lebih cekap.

"Pada saya dengan memberikan pendedahan kita bekerja di PBT lain ia akan berikan ruang dan peluang kepada pegawai itu untuk berkongsi pengalaman masing-masing dalam membangunkan PBT.

"Malah, sekiranya suruhanjaya ini ditubuhkan ia juga dapat memberi peluang kenaikan pangkat yang cepat kepada kakitangan berkaitan," katanya ketika ditemui selepas program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan MBSA di sini hari ini.

Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024 pada 10 November, Dato’ Menteri Besar mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan PBT bagi meningkatkan mutu perkhidmatan termasuk tempoh respon terhadap aduan rakyat.

Dijangka dibentuk pada suku ketiga 2024, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses pembentukan suruhanjaya itu akan dibahaskan dalam Sidang Dewan Negeri kali ini.

Jelasnya, penubuhannya bagi mewujudkan bandar berdaya huni dan mampan di setiap PBT sekali gus menjadikan Selangor sebagai negeri paling bersih.

Selangor mempunyai jumlah penduduk paling ramai di Malaysia yang kini sudah mencecah 7 juta. Antara cabaran utama urbanisasi adalah aspek seperti kepesatan penduduk, pengurusan sisa pepejal, penyelenggaraan jalan, pembersihan longkang dan persekitaran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619