AGENDA

Graduan terima khabar kematian bapa 15 minit sebelum naik pentas

6 Nov 2023, 8:22 AM
Graduan terima khabar kematian bapa 15 minit sebelum naik pentas

KUALA NERUS, 6 NOV: Kegembiraan seorang graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menerima segulung ijazah bertukar hiba, selepas menerima berita kematian bapanya 15 minit sebelum naik ke pentas.

Walaupun dengan linangan air mata, graduan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa Haslina Kalang, 23, terpaksa menggagahkan kaki untuk menerima skrolnya, dengan sokongan kakak sulung dan rakan seperjuangan.

Haslina yang berasal dari Tawau, Sabah berkata dia sememangnya berat hati untuk hadir ke majlis konvokesyen, kerana bapanya Kalang Toba, 56, sedang terlantar sakit selepas diserang angin ahmar.

Bagaimanapun arwah bapanya tetap bertegas supaya dia menghadiri majlis tersebut, selepas tiga tahun berhempas-pulas menamatkan pengajian dengan serba kepayahan.

“Saya memang berat hati untuk datang menghadiri konvokesyen kerana keadaan ayah agak teruk. Tetapi beliau berkeras suruh datang, kerana nak tengok saya naik pentas memakai jubah konvokesyen.

“Sepanjang masa saya tak berhenti berdoa supaya ayah sihat dan saya sempat balik untuk tunjuk gambar sekurang-kurangnya, tetapi Allah lebih sayangkan dia,” katanya ketika ditemui pada majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA kali ke-15 di sini, hari ini.

Haslina berkata walaupun terkilan kerana tidak dapat berada di sisi bapanya pada saat-saat akhir, dia berpuas hati kerana sempat mencurah tenaga menjaga bapanya selepas tamat pengajian.

“Selepas tamat pengajian saya memang tak bekerja kerana nak jaga ayah. Alhamdulillah sempat juga saya berbakti kepadanya,” katanya.

Dalam pada itu pihak pengurusan UniSZA, turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM2,500 kepada Haslina sebagai tanda simpati dan sokongan moral.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619