AGENDA

Keluarga ucap tahniah dari jauh pada majlis konvokesyen graduan Palestin

5 Nov 2023, 11:37 AM
Keluarga ucap tahniah dari jauh pada majlis konvokesyen graduan Palestin

KUALA NERUS, 5 NOV: Hanya mesej yang mengandungi kata-kata semangat di telefon bimbit menemani graduan Ijazah Kedoktoran dari Palestin, Hanan Kamel Mohammed Saad, 51, naik ke pentas menerima skrol pada majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-15, di sini hari ini.

Ibu, bapa serta ahli keluarga Hanan Kamel tidak dapat hadir menyaksikan majlis konvokesyennya disebabkan konflik yang melanda negaranya ketika ini.

Walaupun sedih kerana tidak dapat meraikan kejayaannya bersama mereka yang tercinta, namun Graduan Fakulti Sains Kesihatan itu tetap bersyukur kerana keluarganya tetap “hadir” mengucapkan tahniah dan mendoakan keselamatannya di Malaysia melalui pesanan yang dihantar menerusi telefon.

"Kali terakhir saya berhubung dengan keluarga adalah semalam melalui Facebook dan Instagram. Kami tidak dapat berhubung dengan kerap kerana talian Internet di sana sangat lemah. Mereka juga terpaksa mengehadkan perbualan kerana terpaksa sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga.

"Buat masa ini, saya terpaksa menangguhkan dahulu hasrat untuk kembali berbakti di Palestin dan akan mencari kerja di Malaysia. Harapan saya semoga dapat bertemu semula dengan keluarga suatu hari nanti," katanya yang memiliki 12 adik-beradik ketika ditemui di UNiSZA, di sini.

Bagaimanapun, Hanan Kamel bersyukur kerana semua anggota keluarganya masih selamat walaupun terpaksa menumpang di rumah jiran dan saudara-mara yang lain setelah kediaman mereka terkesan dengan perang Israel-Palestin itu.

Sementara itu, seorang lagi graduan doktor falsafah dari bumi Palestin, Saber T R Syouri, 50, terpaksa melupakan hasrat menghadiri majlis konvokesyen yang bersejarah itu setelah terperangkap dalam situasi yang berbahaya di Tebing Barat ketika ini.

Menerusi sebuah tayangan video yang disiarkan pada majlis tersebut, beliau turut berkongsi berita duka kehilangan beberapa anggota keluarganya termasuk anak lelaki dan anak perempuannya dalam konflik terbaharu yang bermula pada 7 Oktober lalu.

"Terima kasih kepada Terengganu dan UniSZA. Saya minta maaf kerana tak dapat menghadiri konvokesyen kerana situasi yang amat berbahaya pada masa sekarang," katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619