AGENDA

Dua lelaki ditahan kes gaduh himpunan motosikal berkuasa tinggi

24 Sep 2023, 1:34 PM
Dua lelaki ditahan kes gaduh himpunan motosikal berkuasa tinggi

JOHOR BAHRU, 24 SEPT: Dua lelaki tempatan ditahan dipercayai terlibat pergaduhan ketika acara Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 di Kota Tinggi, malam tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata masing-masing yang berusia 30 dan 50 tahun serta mengalami kecederaan ringan, ditahan di sekitar bandar raya ini dan Kota Tinggi, hari ini.

Beliau berkata seorang daripada mereka menerima empat jahitan di kepala dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kota Tinggi.

Menurut Kamarul Zaman, pergaduhan kira-kira 9 malam itu dipercayai berpunca akibat salah faham antara dua kumpulan peserta motosikal tempatan dan Amerika Syarikat manakala usaha sedang dijalankan untuk mengesan individu lain yang terlibat.

“Kita sedang menjalankan siasatan berapa ramai terlibat. Setakat ini, kumpulan antarabangsa dari Arizona, Amerika Syarikat dipercayai membabitkan antara 70 hingga 80 orang.

“Mungkin ada cabar-mencabar antara kumpulan terlibat, bagaimanapun siasatan terperinci sedang dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 350 anggota polis menjaga keselamatan dalam penganjuran DIBW 2023 itu, sekali gus menjelaskan pergaduhan berjaya dileraikan dan dikawal oleh pihaknya sebaik pergaduhan tercetus.

Kamarul Zaman berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang membuat onar serta mencetuskan pergaduhan dalam program itu.

“Pergaduhan seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana program ini bertujuan mengeratkan silaturahim antara peminat motosikal berkuasa tinggi.

"Saya ingin memberi amaran kepada mereka yang terlibat, serah diri kepada polis atau mahu kami cari,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video menerusi media sosial yang memaparkan pergaduhan tercetus melibatkan sekumpulan individu dengan ada yang menggunakan kerusi dan kayu ketika penganjuran DIBW 2023.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619