AGENDA

Polis terima 140 laporan berkaitan PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

9 Sep 2023, 12:46 PM
Polis terima 140 laporan berkaitan PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

JOHOR BAHRU, 9 SEPT: Polis telah menerima 140 laporan yang berkaitan dengan pelbagai kesalahan berhubung proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram, dalam tempoh 26 Ogos lepas hingga tengah malam semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata laporan yang paling banyak diterima adalah berhubung tindakan pihak tertentu menurunkan poster ataupun sepanduk, serta merosakkan papan iklan dan bendera.

"Bagaimanapun Alhamdulillah, perjalanan proses pengundian hari ini berjalan lancar di semua pusat mengundi di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lepas.

Sementara itu merujuk kepada insiden dua pengamal media di Johor didakwa dikasari pegawai pengiring seorang menteri Selasa lepas, Kamarul Zaman berkata siasatan dalaman telah dilakukan dan percakapan saksi telah dirakam.

"Siasatan dalaman telah dijalankan, kita sudah panggil seorang saksi dan rakam percakapan. Kini terpulang, kalau nak buat laporan polis, boleh buat, kita akan teruskan siasatan, jadi kalau rasa perlu buat (laporan) boleh buat," katanya.

Dalam insiden itu, dua wartawan wanita mendakwa dikasari beberapa pegawai pengiring seorang menteri ketika membuat liputan program kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai di Taman Anggerik dan Taman Dahlia, di sini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619