AGENDA

Amanah yakin pertahan kerusi DUN Simpang Jeram, Parlimen Pulai

22 Ogos 2023, 3:58 PM
Amanah yakin pertahan kerusi DUN Simpang Jeram, Parlimen Pulai

ALOR GAJAH, 22 OGOS: Parti Amanah Negara (Amanah) yakin mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Naib Presiden Amanah Adly Zahari berkata keyakinan itu berdasarkan kekuatan akar umbi di dua kawasan itu terutamanya di DUN Simpang Jeram yang menyaksikan kelahiran parti itu pada 2015.

"Kita juga berharap dapat meneruskan perjuangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mempunyai rekod pencapaian dan telah memberikan perkhidmatan terbaik ketika menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut, sekali gus dilihat menjadi kekuatan Amanah untuk mengekalkan kemenangan di dua kerusi itu.

“Ramai orang tak ingat sebenarnya tapak penubuhan Amanah ialah di DUN Simpang Jeram, itu sebenarnya tapak asas parti dan kita ada kekuatan akar umbi di situ, jadi saya yakin kemenangan dapat diterjemahkan (pada PRK kali ini),” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Program Membudayakan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Pertahanan di Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal di sini.

Mengulas lanjut, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata keyakinan untuk memenangi kerusi itu juga berdasarkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan serta kerajaan Johor iaitu antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong berikutan kematian penyandangnya Salahudin, 61, pada 23 Julai lepas di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, akibat pendarahan otak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos dan hari pengundian pada 9 Sept.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619