AGENDA

Bayi berusia 45 hari antara dua maut kemalangan

4 Sep 2023, 12:18 PM
Bayi berusia 45 hari antara dua maut kemalangan

MUAR, 4 SEPT: Dua individu termasuk bayi lelaki berusia 45 hari maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 144.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara, dekat Pagoh, pagi tadi.

Ketua Polis Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata kemalangan pada 3.10 pagi itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang lelaki berusia 20 tahun terbabas sebelum dirempuh sebuah lagi motosikal dari arah belakang yang gagal mengelak lalu merempuh kenderaan terbabas itu.

"Pada masa sama, sebuah kereta dinaiki lima sekeluarga tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa yang terbaring di jalan sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahagian kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Raiz Mukhliz, penunggang berusia 20 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala bayi lelaki yang berada dalam kereta berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Katanya, lima lagi mangsa berada di HPSF untuk rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh Pegawai Bomba Kanan II KUP Azarizam Mookri berkata sejurus menerima panggilan kecemasan, seramai 18 anggota dari BBP Pagoh, BBP Bukit Gambir dan BBP Tangkak dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, mereka yang cedera dua lelaki, seorang wanita, masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berada dalam kereta terbabit serta seorang lagi penunggang motosikal.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619