AGENDA

Azizulhasni raih emas ketiga dalam tempoh 24 jam di Hong Kong

27 Mei 2023, 3:00 PM
Azizulhasni raih emas ketiga dalam tempoh 24 jam di Hong Kong

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang merangkul pingat emas ketiganya dalam tempoh 24 jam selepas mendominasi saingan keirin lelaki Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II 2023 di Velodrom Hong Kong malam ini.

Atlet berusia 35 tahun yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu tampil dengan kayuhan bertenaga untuk menewaskan Sergey Ponomaryov dari pasukan Astana yang merangkul perak sementara pelumba muda negara Mohd Akmal Nazimi membawa pulang gangsa, demikian menurut www.uci.org.

Seorang lagi pelumba elit negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam.

Semalam, Mohd Azizulhasni yang juga juara dunia keirin 2017 dan pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020, menyambar dua emas masing-masing dalam acara pecut serta keirin pada Piala Trek Antarabangsa Hong Kong I yang hanya berlangsung selama sehari.

Saingan hari ini menyaksikan pelumba wanita sensasi negara Nurul Izzah Mohd Asri, yang merangkul emas acara pecut semalam, gagal mengulangi pencapaiannya apabila meraih gangsa dalam acara sama.

Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II 2023 berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619