AGENDA

Wanita warga emas ditemui maut dalam bilik tidur, dipercayai dibunuh

24 Mei 2023, 10:04 AM
Wanita warga emas ditemui maut dalam bilik tidur, dipercayai dibunuh

IPOH, 24 MEI: Polis menemukan mayat wanita warga emas di bilik tidurnya dalam keadaan separuh bogel di sebuah rumah di Kampung Tersusun dekat Simpang Lima petang semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihak polis daerah Kerian telah ke lokasi kejadian dan menemukan mayat wanita  yang tinggal berseorangan itu dengan kesan darah pada bantal, tilam dan dinding biliknya.

“Terdapat kesan luka potong dan luka tikaman pada telinga, leher dan pipi mangsa yang berumur 61 tahun itu selain kesan lebam di lengan dipercayai berpunca daripada pergelutan bersama pelaku dalam usaha mempertahankan diri.

“Siasatan lanjut mendapati pelaku telah memecah masuk rumah mangsa berdasarkan kesan umpil pada tingkap nako dan tiga keping cermin ditanggalkan, bagaimanapun tiada barang berharga mangsa hilang,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Yusri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.

“Hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan luka tikaman pada bahagian leher,” katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat menghubungi balai polis terdekat atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Kerian di talian 05-7212222.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619