AGENDA

Polis tahan lelaki disyaki muat naik kenyataan menghasut, gugat ketenteraman

9 Mei 2023, 11:32 AM
Polis tahan lelaki disyaki muat naik kenyataan menghasut, gugat ketenteraman

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki kerana disyaki memuat naik dua kenyataan bersifat provokasi perkauman dan berunsur hasutan yang boleh menggugat ketenteraman awam di laman sosial.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata pemilik akaun Twitter yang menggunakan nama @hezryhaizad berusia 33 tahun itu ditahan Bagai Serai, Perak semalam dan direman tiga hari bermula hari ini hingga Khamis.

“Susulan penahanan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sekeping sim kad milik suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noorsiah kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan iaitu dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

Beliau berkata lelaki itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“PDRM menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan yang mengaibkan, mengundang kemarahan, menimbulkan rasa benci kepada agama, bangsa, kaum, raja sehingga boleh mencetuskan kepada ketidakharmonian dan menjejaskan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata tindakan tegas boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619