AGENDA

Lapangan terbang Malaysia catat 6.7 juta pergerakan penumpang pada Mac

19 Apr 2023, 6:39 AM
Lapangan terbang Malaysia catat 6.7 juta pergerakan penumpang pada Mac

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Jumlah pergerakan penumpang Malaysia meningkat sebanyak 15 peratus kepada 6.7 juta pada Mac 2023 daripada angka pada bulan sebelumnya, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam kenyataan pada Rabu, pengendali lapangan terbang itu menjelaskan kenaikan itu didorong oleh penyambungan semula pelbagai laluan penerbangan pada bulan itu susulan permintaan perjalanan yang terus meningkat di rantau ini.

Pengarah Urusan, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata penyambungan semula operasi serta laluan syarikat penerbangan secara aktif di lapangan terbang di seluruh negara terus memberikan keyakinan mengenai permintaan perjalanan.

Beliau juga menjangkakan lebih banyak syarikat penerbangan baharu akan terbang ke Malaysia dalam beberapa bulan akan datang.

“Syarikat penerbangan tambang rendah Indonesia, TransNusa Airlines baru-baru ini membuat penerbangan antarabangsa sulungnya ke Kuala Lumpur dari Jakarta bulan ini, syarikat ini pada mulanya hanya menawarkan laluan domestik di Indonesia.

“TransNusa ialah syarikat penerbangan kesembilan yang menyediakan operasi di antara Kuala Lumpur dengan Jakarta, membuktikan populariti dan permintaan tinggi bagi laluan ini,” katanya.

Menurut MAHB pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik di Malaysia terus meningkat dengan stabil pada Mac 2023, masing-masing mencatatkan tiga juta dan 3.7 juta penumpang.

Kedua-dua sektor ini menunjukkan peningkatan pergerakan penumpang masing-masing sebanyak lebih 10 peratus daripada angka bulan sebelumnya.

Jumlah pergerakan penumpang di Malaysia tahun ini setakat Mac 2023 adalah 18.7 juta, meningkat 125 peratus daripada 8.3 juta penumpang dalam tempoh yang sama pada 2022.

Mengenai aset di Turkiye, MAHB memaklumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SGIA) merekodkan 2.8 juta penumpang pada Mac, iaitu peningkatan 10 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Jumlah pergerakan penumpang antarabangsa pula 1.5 juta, manakala jumlah pergerakan penumpang domestik pada 1.3 juta penumpang.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619