AGENDA

Lapangan terbang seluruh negara bersedia untuk pembukaan semula

1 Apr 2022, 12:07 AM
Lapangan terbang seluruh negara bersedia untuk pembukaan semula

KUALA LUMPUR, 1 APR: Lapangan terbang di seluruh negara bersedia untuk memastikan pengalaman yang selamat dan lancar buat semua pengguna lapangan terbang, sejurus sempadan dibuka semula hari ini selepas dua tahun ditutup sejak Mac 2020.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Iskandar Mizal Mahmood dalam kenyataan berkata kumpulan itu komited dalam memastikan standard tinggi yang konsisten di lapangan terbang.

“Untuk beberapa minggu kebelakangan ini, kami telah mengadakan libat urus harian dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan operasi lapangan terbang berjalan lancar. Tiada yang tertinggal dari perhatian kami. Bukan sahaja kami melihat pada semua aspek perjalanan penumpang, kami juga memastikan pematuhan pada semua peraturan penerbangan,” katanya.

Beliau berkata antara penambahbaikan yang dibuat termasuk memendekkan proses dokumentasi ketika ketibaan dengan meminta penumpang menyempurnakannya di aplikasi MySejahtera sebelum berlepas dari negara asal mereka.

Kawasan beratur di kaunter Imigresen juga telah diluaskan untuk keselesaan penumpang, tambahnya.

Beliau berkata bagi memudahkan lagi penumpang, fasiliti saringan kesihatan swasta disediakan di lapangan terbang antarabangsa yang berfungsi sebagai pusat sehenti dengan perkhidmatan pratempah menerusi portal dalam talian, bagi penumpang menjalani ujian RTK-Ag profesional.

Berdasarkan jadual penerbangan yang telah difailkan, lapangan terbang seluruh negara dijangka menerima 119 penerbangan pada hari pertama pembukaan semula sempadan negara (hari ini).

Malaysia Airports turut meramalkan pergerakan kira-kira 20,900 penumpang antarabangsa pada 1 April, iaitu enam kali lebih banyak daripada purata pergerakan harian penumpang antarabangsa pada 2021.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Chester Voo berkata pihaknya telah menjalankan penyeliaan keselamatan efektif ke atas lapangan terbang dan operator penerbangan di Malaysia dan pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan pada peraturan dan norma baharu.

“Ini sesuatu yang menggalakkan, ketika industri penerbangan bersedia untuk permulaan semula yang selamat. CAAM ingin memuji Malaysia Airports dan operator penerbangan yang mengambil serius pematuhan ini demi keselamatan orang ramai,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619