AGENDA

Khidmat hantar makanan halal kukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global

12 Apr 2023, 3:00 PM
Khidmat hantar makanan halal kukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global

CYBERJAYA, 12 APRIL: Platform perkhidmatan penghantaran makanan berstatus halal mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal di peringkat global, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata perkhidmatan yang diperkenalkan oleh bekal by foodpanda menjadi langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dalam arena ekonomi berasaskan perkhidmatan halal yang akan memanfaatkan rakyat di negara ini.

“Inisiatif oleh bekal by foodpanda ini akan membuka lembaran baharu dalam ekosistem penghantaran makanan halal di Malaysia dan diharap ia akan diikuti oleh syarikat penghantaran lain,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran platform berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata platform perkhidmatan penghantaran makanan oleh foodpanda itu adalah yang pertama mendapat pengiktirafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Malaysia.

bekal by foodpanda menerima pensijilan halal pada Disember tahun lepas dan kini menawarkan penghantaran halal di sekitar Putrajaya. Perkhidmatan penghantaran itu akan diperluas ke semua kawasan di Lembah Klang menjelang Julai tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DHE Logistics Malaysia Sdn Bhd Sayantan Das berkata penghantar makanan platform berkenaan dilengkapi beg penghantaran khas bagi produk halal, selain penghantar juga diberi latihan khusus mengenai kesedaran halal dan sertu.

“Kami memastikan bahawa setiap penghantaran dilakukan dengan kepatuhan kepada prinsip-prinsip halal, tanpa risiko makanan dicemari oleh makanan yang tidak halal,” katanya. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619