AGENDA

Tanggungan subsidi haji makin naik, bantuan bersasar ikut pendapatan individu

23 Mac 2023, 5:26 AM
Tanggungan subsidi haji makin naik, bantuan bersasar ikut pendapatan individu
Tanggungan subsidi haji makin naik, bantuan bersasar ikut pendapatan individu

SHAH ALAM, 23 MAC: Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka perlu menanggung bantuan kewangan haji sehingga RM500 juta tahun depan jika kadar itu tidak disemak, kata menteri hal ehwal agama.

Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar menjelaskan kadar yang meningkat saban tahun sekali gus memberi kesan kepada TH dalam aspek agihan keuntungan berpatutan kepada pendepositnya.

“TH menjangka jumlah bantuan kewangan haji akan meningkat dari RM185 juta pada 2022 kepada RM400 juta pada 2023. Jumlah ini dijangka terus meningkat hampir RM500 juta pada 2024.

"Ini akan memberi kesan kepada TH yang perlu memberikan agihan keuntungan berpatutan kepada pendepositnya," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Ahmad Saad@Yahaya berhubung asas pertimbangan kerajaan meletakkan kos perbelanjaan jemaah haji berdasarkan kategori pendapatan.

[caption id="attachment_563284" align="alignleft" width="402"] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar ketika sidang media prestasi kutipan dan agihan zakat Wilayah Persekutuan di ibu negara pada 26 Januari 2023. Foto Facebook Dato' Setia Dr. Na'im[/caption]

Dalam pada itu, Mohd Nai'im menjelaskan TH melaksana bantuan kewangan bersasar mengikut kelompok, dengan mengambil kira tahap kewangan bakal haji dan bukan pendapatan isi rumah.

Menurutnya, pelaksanaan sistem tersebut akan dibuat bersama agensi lain termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan prosesnya berjalan lancar.

“Walaupun boleh menerima bantuan, bakal haji kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) diberi peluang secara sukarela membayar lebih daripada kadar ditetapkan,” katanya.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kementerian Kewangan akan menanggung kenaikan kos haji yang dialami golongan B40 pada tahun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kelompok M40 perlu membayar kenaikan kos haji RM3,000 bagi setiap jemaah, manakala berpendapatan tinggi (T20) perlu membayar penuh kos ibadat tersebut.

TH menjangkakan kos haji pada tahun ini meningkat sekitar RM31,000 berbanding RM28,000 tahun lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619