AGENDA

Anggota polis ditahan bawa mercun, bunga api guna kenderaan PDRM

7 Apr 2023, 4:30 AM
Anggota polis ditahan bawa mercun, bunga api guna kenderaan PDRM

KOTA BHARU, 7 APRIL: Anggota polis dan rakannya ditahan ketika membawa pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM25,000 menggunakan kenderaaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Machang, Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata tangkapan kedua-dua suspek berumur 32 dan 35 tahun itu serta rampasan dilakukan sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) Pengkalan Chepa kira-kira 7.45 malam selepas melihat kenderaan terbabit dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota PGA8 telah menahan Toyota Hilux PDRM di lampu isyarat Wakaf Bata, Machang, hasil pemeriksaan menemukan 15 kotak coklat dan 12 bungkusan guni di bahagian kenderaan itu yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM25,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki berkata hasil semakan mendapati seorang daripada suspek merupakan anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Terengganu manakala seorang lagi suspek bekerja sebagai mekanik dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan kes narkotik.

“Mereka ditahan reman empat hari bermula Rabu hingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Polis juga akan mengenal pasti sama ada anggota tersebut berada di luar kawasan kerana tugas atau sebaliknya,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619