AGENDA

KPM kaji garis panduan singkatkan masa bina sekolah baharu

6 Mac 2023, 4:53 AM
KPM kaji garis panduan singkatkan masa bina sekolah baharu

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Kementerian Pendidikan (KPM) merancang untuk mengemas kini dan mengkaji semula garis panduan pembinaan sekolah baharu bagi mempercepat pembinaannya, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata berdasarkan garis panduan sedia ada, pembinaan sesebuah sekolah boleh memakan masa antara lima hingga 10 tahun.

“Berkenaan garis panduan pembinaan (sekolah) dari segi infrastuktur dan selainnya, pada masa ini kami belum lagi memulakan kajian tetapi kami akan mengkaji semula, kita hendak singkatkan masa (pembinaan).

“…satu masalah yang kita mesti pastikan adalah penyerahan tanah, pemilikan tanah itu adalah satu unsur utama sebelum pembinaan sesebuah sekolah dan kami akan mengemas kini dan merujuk semula semua garis panduan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang bertanyakan sekiranya KPM mempunyai perancangan untuk mengkaji semula dan mengemas kini garis panduan pembinaan sekolah baharu.

Menjelas lanjut, Lim berkata KPM mendapatkan input dan cadangan pembinaan sekolah melalui permohonan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Seterusnya, beliau berkata KPM melaksanakan analisis keperluan secara terperinci berdasarkan Garis Panduan Perancangan Kemudahan Masyarakat Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Selain daripada kesediaan tapak atau tanah, perkara lain yang diambil kira adalah bilangan dan kapasiti sekolah sedia ada yang berhampiran, kepadatan penduduk di kawasan sekitar, liputan kawasan tadahan penduduk (catchment area) serta perancangan pembangunan kawasan tersebut berdasarkan perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619